Gantirugi RM2.5 juta Abdul Malek Hussin

Pada 18 Oktober 2007, Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi am RM2.5 juta kepada Abd Malek Hussin . Ini kerana penahanan secara salah, ganti rugi am bagi kecederaan dan perubatan sebanyak RM500,000 serta RM1 juta bagi ganti rugi teladan.

Laporan penghakiman setebal 41 muka surat ditulis dan disediakan oleh Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus . Alasan hakim ialah :

  • Ketika ditahan pada 25 September 1998 , Abd Malek dinafikan hak untuk mendapatkan peguamnya.
  • Defendan pertama (Asisten Supritendan (ASP) Borhan Daud) tidak mengemukakan bukti tentang aktiviti plaintif yang dijadikan alasan penahanan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 73(1) ISA 1960.
  • Tiada alasan penahanan seperti dikehendaki dalam Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan.
  • Dakwaan defendan bahawa plaintif terlibat secara langsung di dalam perhimpunan-perhimpunan haram (tanpa permit) yang diakhiri dengan huru-hara merupakan dakwaan tanpa bukti material.
  • Cara soal siasat lebih kepada tujuan politik dan tidak ada kena mengena dengan soal keselamatan negara Malaysia.
  • Penahanan Abd Malek Hussin sejak dari awal adalah mala fide (dengan niat jahat).
  • Penyiasatan yang dijalankan oleh SAC Hadi Ho berhubung laporan polis oleh plaintif tidak ada apa-apa melainkan mere sham. (penipuan semata-mata)
  • Plaintif memberi keterangan secara konsisten di kandang saksi tanpa tekanan mana-mana pihak.
  • Laporan polis dan dokumen lampiran jelas memihak memihak kepada plaintif.
  • Laporan perubatan yang disediakan oleh Dr. P. Vasantha menunjukkan plaintif mengalami lebam dan bengkak di tangan, betis, peha dan kaki.
  • Kehadiran bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor di IPKKL dari jam 12.00 pm hingga 3.00 am untuk mesyuarat khas polis tanpa kehadiran Ketua Polis KL amat tidak logik.